Presiden Ukraine mohon FIFA benarkannya berucap di stadium sebelum final Piala Dunia tapi..
Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dilapor menolak permintaan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang mahu menyampaikan ucapan secara langsung sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala Dunia yang mempertemukan Perancis dan Argentina, Ahad ini.
Memetik laporan DailyMail, Zelensky membuat permohonan untuk muncul melalui satu video dan memberikan ucapan kepada peminat di stadium berkenaan topik keamanan dunia.
Wakil daripada Pejabat Presiden Ukraine dilapor terkejut apabila FIFA menolak permintaan tersebut kerana mereka menganggap badan itu sebelum ini mahu menggunakan platform Piala Dunia untuk tujuan kebaikkan.
Walau bagaimanapun, komunikasi antara kedua-dua pihak dikatakan masih berjalan dan ada kemungkinan FIFA akan menukar keputusan yang dibuat menjelang perlawanan akhir tersebut, lapor CNN.
Usahan CNN untuk mendapatkan respon dan pengesahan FIFA berkenaan perkara tersebut setakat masih belum mendapat sebarang maklum balas.
Permintaan tersebut walaupun luar biasa, namun ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebelum ini, Zelensky kerap muncul menerusi forum-forum besar di seluruh dunia, dalam menyampaikan mesej apa yang didakwanya sebagai mewakili keamanan sejagat serta mendapat sokongan global sejak negaranya diceroboh oleh Rusia, Februari lalu.
Beliau antaranya pernah muncul di Persidangan G20, Anugerah Grammy dan Festival Filem Cannes.
FIFA sebelum ini sering menegaskan bahawa sukan bola sepak perlu diasingkan daripada campur tangan politiK. Malah, badan itu pernah menghukum beberapa kelab bola sepak kerana membawa unsur-unsur politik ke dalam stadium.