Polis Thailand lakukan operasi besar-besaran kesan Azi, edar foto ke 19 balai polis di Narathiwat

Polis Thailand lakukan operasi besar-besaran kesan Azi, edar foto ke 19 balai polis di Narathiwat

 

Polis Thailand mengedarkan fotoRosnazirah Mohd Naim, 36, ke 19 balai polis di Wilayah Narathiwat di Thailand, bagi membantu mengesan ejen kosmetik itu yang culik di Tumpat, dekat sini.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Jeneral Wan Seman Wan Salleh, berkata gambar seorang lelaki yang juga suspek turut diedarkan dan usaha berkenaan dijalankan bagi membantu polis Kelantan yang mengesyaki mangsa diculik dan dilarikan ke Thailand.

“Kita kini menjalankan operasi besar-besaran bagi membantu PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesan ejen kosmetik itu yang diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat, pada 13 September lalu.

“Operasi mengesan mangsa itu digerakkan sejurus pihaknya menerima gambar mangsa dan juga seorang suspek yang dipercayai antara individu yang terbabit menculik wanita itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Seman berkata, operasi mengesan mangsa dilakukan dengan pantas atas hubungan baik dengan polis Kelantan dan kerjasama rentas sempadan selama ini.

Beliau berkata, beberapa siri serbuan dijalankan di hotel, stor simpanan barang dan rumah kediaman, namun masih gagal menemukan mangsa.

“Polis Thailand juga memaklumkan mengenai kes itu di balai polis bersempadan dengan Kelantan iaitu di Balai Polis Sungai Golok, Waeng, Takbai dan Buketa supaya melipat gandakan usaha.

“Operasi ini juga membabitkan Unit Risikan Thailand yang kini masih menjalankan usaha mengesan,” katanya menambah gambar mangsa dan suspek turut diedarkan ke sempadan Wilayah Pattani dan Songkhla.

Dalam kejadian 13 September lalu, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ejen kosmetik diculik beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat kira-kira pukul 5.10 petang.

Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat susulan penemuan kereta yang digunakan suspek.