Polis tahan ibu remaja OKU ditinggalkan sendiri terjatuh dari apartmen

Polis tahan ibu remaja OKU ditinggalkan sendiri terjatuh dari apartmen

 

Seorang wanita ditahan selepas anak lelakinya yang berusia 13 tahun dipercayai terjatuh dari tingkat satu sebuah apartmen di Taman Melawati, di sini, semalam, ketika ditinggalkan sendirian di unit kediaman mereka.

Remaja berkenaan yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dan autisme, dilaporkan terjatuh ke atas kereta serta mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata insiden dipercayai berlaku ketika ibu mangsa berusia 43 tahun dikata meninggalkan mangsa sendirian di kediaman mereka sejak jam 9.15 malam kelmarin.

Katanya, wanita itu yang juga kakitangan swasta di bahagian kewangan, dikatakan membawa anak bongsu perempuannya yang berusia lima tahun ke latihan renang dan bermalam di hotel di Damansara.

Beliau berkata, wanita itu kemudian dikatakan menerima panggilan daripada bekas suaminya pada jam 8.32 pagi semalam untuk memaklumkan bahawa mangsa terjatuh dari unit kediaman terbabit.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa menerima lima jahitan di bahagian kepala, selain tangan kanan retak serta cedera di muka. Mangsa kini dirawat di Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah menahan ibu mangsa, kira-kira jam 2 petang tadi.

“Wanita itu akan direman di Mahkamah Ampang, esok. Kes disiasat mengikut Seksyen31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya.