Polis tahan 2 lelaki tengah sibuk melombong bitcoin

Kegiatan dua lelaki menjalankan operasi melombong Bitcoin di sebuah premis di Jalan Rawang Putra 1, Rawang di sini terbongkar selepas polis menyerbunya pada awal pagi hari ini.

Dalam serbuan pada 1.20 pagi itu, sepasukan anggota Balai Polis Rawang menjalankan pemerhatian selama 30 minit di hadapan premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya mengesan dua lelaki berusia 22 dan 35 tahun dalam keadaan mencurigakan memasuki premis itu.

Menurutnya, polis kemudiannya menyerbu dan menahan suspek, pemeriksaan lanjut menemui sejumlah mesin melombong Bitcoin yang sedang aktif beroperasi dengan membuat penyambungan elektrik secara haram.

“Pemeriksaan itu turut dihadiri Pegawai Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rawang yang mengesahkan premis berkenaan mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan operasi itu berdasarkan pintasan pada litar utama.

“Hasil siasatan mendapati, aktiviti itu sudah beroperasi kira-kira tiga bulan dengan setiap mesin terbabit boleh mencapai keuntungan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, kerugian yang dialami pihak TNB masih dalam siasatan.

“Semakan mendapati seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah komersial.

“Susulan itu, polis merampas 46 unit mesin melombong Bitcoin, komputer riba, modem dan serangkai kunci,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, keduanya juga direman sehari bagi membantu siasatan. – HM