Polis sudah ambil keterangan individu dakwa disuntik picagari kosong

Polis sudah ambil keterangan individu dakwa disuntik picagari kosong

Shah Alam: Polis sudah mengambil keterangan individu yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin Covid-19 di Hospital Banting, Kuala Langat, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, selain individu berkenaan, pemvaksin (vaccinator) yang memberikan suntikan itu juga turut diambil keterangan.

“Sudah rakam (ambil keterangan individu berkenaan dan pemvaksin), cuma beberapa kakitangan lagi dalam proses dirakam percakapan sebagai saksi.

“Kita jangka minggu depan kertas siasatan siap untuk dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan pihaknya membuka kertas inkuiri (siasatan dalaman) berhubung aduan berkenaan.

Terdahulu, satu laporan polis tular di media sosial seorang lelaki mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin di sebuah hospital baru-baru ini.

Menurut laporan itu, lelaki terbabit merakam proses suntikan dan apabila melihat semula rakaman berkenaan, dia mendapati tiada cecair vaksin di dalam picagari, malah jarum suntikan tidak ditekan.

Lelaki itu turut mendakwa, dimarahi dan diminta memadam rakaman video berkenaan selepas mendapat suntikan sebenar. -Hmetro