Polis siasat video pergaduhan pelajar sekolah

Polis siasat video pergaduhan pelajar sekolah

 

 

Polis daerah ini membuka satu kertas siasatan berhubung video pergaduhan sekumpulan remaja berpakaian seragam sekolah yang tular di laman sosial Facebook hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya mula mengetahui mengenai video pergaduhan terbabit kira-kira pukul 2 petang hari ini selepas ia menjadi tular.

“Video berkenaan menunjukkan pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar sekolah.

“Siasatan awal pihaknya mendapati pergaduhan berkenaan berlaku di Jalan Elopura, bandar Sandakan.

“Punca sebenar pergaduhan masih dalam siasatan dan kita sedang mengenal pasti semua pelajar sekolah yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Fuad memaklumkan polis Sandakan sudah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.