Polis siasat suami tembak bahagian dada isterinya yang sedang tidur pada jarak dekat

Polis sedang menyiasat motif sebenar menyebabkan seorang suami penyayang bertukar kejam sehingga sanggup menembak mati isterinya sendiri, Isnin lalu.

Bagaimanapun Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan motif cemburu menyebabkan suspek dipercayai hilang pertimbangan sehingga menembak bahagian dada isterinya pada jarak dekat, ketika wanita berkenaan sedang tidur.

“Kita masih siasat motif sebenar. Cuma cemburu ini ada macam-macam. Suami isteri, mungkin ada (cemburu) yang kita tak tahu.

“Siasatan akan dibuat dari semua sudut. Mungkin suspek ada hubungan lain. Ini berikutan penemuan surat tuntutan fasakh di rumah mereka.

“Namun kita tak tahu lagi motif sebenar, segalanya hanya kemungkinan dan hanya diketahui selepas siasatan selesai nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Terdahulu, kehilangan wanita malang berkenaan tular di media sosial dengan segelintir netizen berkongsi paparan akaun Facebook milik mangsa.

Tinjauan di akaun Facebook mangsa yang berusia 38 tahun mendapati beliau memuatnaik gambar majlis hari jadi anak sulungnya pada 10 Februari lalu.

Mangsa dilaporkan berkahwin lapan tahun lalu, mempunyai dua anak lelaki berusia empat dan tiga tahun dan sering memuatnaik aktiviti keluarga termasuk majlis hari jadi anak bersama suspek.

Rata-rata netizen termasuk jiran mangsa meluahkan rasa sedih dan terkejut kerana keluarga berkenaan baharu mengadakan majlis hari jadi anak sulung mereka pada 10 Februari.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, proses bedah siasat masih berjalan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Kita belum boleh memperincikan tentang jumlah das tembakan pada mayat selagi bedah siasat masih berjalan, ” katanya. – HM