Polis siasat lelaki cabut nombor plat sebab parking berlapis

Polis siasat lelaki cabut nombor plat sebab parking berlapis

Polis menyiasat kejadian seorang lelaki yang dirakam merosakkan kenderaan dengan mencabut nombor pendaftaran di Jalan Kuchai Maju, Brickfields, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian dikesan selepas video mengenainya dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.

“Rakaman berkenaan memaparkan seorang lelaki mencabut nombor pendaftaran sebuah kereta Perodua Viva dan mencampakkannya ke jalan.

“Kejadian disyaki berpunca akibat meletakkan kenderaan secara berlapis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, setakat ini polis tidak menerima laporan berkaitan kejadian.

Bagaimanapun, katanya, polis akan menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya melalui Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 45 saat menunjukkan seorang lelaki mengundurkan keretanya yang terhalang oleh Perodua Viva dipercayai untuk keluar.

Selepas mengundurkan kereta, lelaki itu dilihat keluar daripada kenderaannya lalu mencabut nombor pendaftaran Perodua Viva berkenaan sebelum dilihat beredar.