Polis siasat dakwaan polis ambil duit
Baru-baru ini viral mengenai anggota polis di sebuah balai polis di Kulim, Kedah yang didakwa ambil duit daripada dompet yang ditinggalkan oleh seorang individu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian wang hilang tersebut yang dipercayai berlaku di sebuah balai polis di daerah itu dikesan pihaknya.
“Pengadu mendakwa duit di dalam beg duit tersebut yang dijumpai oleh seorang lelaki yang lain yang telah menyerahkan beg duit tersebut di balai polis berkenaan telah didapati hilang.
“Semakan mendapati sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan isu ini. Namun demikian, pihak polis IPD Kulim telah menjalankan siasatan terhadap isu yang diviral.
“Ketua Polis Balai akan memanggil kesemua pihak yang terlibat bagi mendapatkan keterangan terhadap isu berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Kulim Kedah hari ini.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang berkaitan dalam isu tersebut dinasihati untuk membuat laporan polis bagi siasatan selanjutnya.
“IPD Kulim juga memohon agar masyarakat tidak mengeluarkan kenyataan berdasarkan (isu) viral tersebut kerana ia (masih) dalam siasatan pihak polis.
“Tindakan sebagaimana peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan termasuk pegawai dan anggota polis.
“IPD Kulim tidak akan berkompromi di dalam hal sebegini,” tegasnya lagi dalam kenyataan tersebut.
Sebelum itu, kenyataan tersebut turut dimuat naik bersama tangkap layar (screenshot) yang memaparkan tindakan seorang individu yang menemui sebuah beg duit yang dipercayai tertinggal di satu lokasi.
Difahamkan, pada awalnya individu tersebut memuat naik gambar penemuan berkenaan di sebuah group komuniti Facebook bagi bertanya kepada awam jika ada pihak yang mengenali empunya beg duit itu.
Hantaran tersebut dibalas oleh seorang individu lain yang mendakwa beg duit itu adalah kepunyaaan adiknya dan sudah diambil semula dari balai polis berkenaan (tempat ia dihantar selepas ditemui).
Bagaimanapun dakwa individu tersebut, berlaku satu masalah yang ‘kurang enak’ didengari. Dakwanya, pihaknya mempunyai isu ‘tertentu’ terhadap anggota polis berkenaan kejadian itu.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan di Facebook PDRM Kulim Kedah, individu itu mendakwa bahawa sejumlah duit yang asalnya berada di dalam beg itu sudah pun diambil.
Hantaran tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi daripada orang awam yang membacanya, malah ada yang mendakwa tindakan tersebut sangat tidak patut dilakukan oleh pihak berkaitan.
Bagaimanapun merujuk semula kepada kenyataan Superintendan Mohd Redzuan Salleh, orang awam diingatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kes tersebut masih dalam siasatan.
Sumber: FB PDRM Kulim Kedah