Polis rampas mercun, bunga api bernilai RM50,000

Polis rampas mercun, bunga api bernilai RM50,000

KUANTAN, 23 April – Polis menahan seorang penganggur dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api yang dianggarkan bernilai RM50,000 di sebuah rumah di Taman Desa Damai, Bentong, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata lelaki tempatan berusia 38 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota polis pada kira-kira 12.30 tengah malam.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam kotak di ruang tamu rumah berkenaan.

“Ketika pemeriksaan suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran untuk memiliki dan menjual mercun serta bunga api tersebut.

“Siasatan awal turut mendapati lelaki itu baru sahaja mendapatkan kesemua bahan berkenaan dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti pembekal bahan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya suspek direman tiga hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa sebarang lesen sah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Zaiham mengingatkan semua pihak supaya tidak menjual atau bermain mercun tanpa permit, termasuk yang telah diubah suai, kerana perbuatan itu adalah berbahaya selain menyalahi undang-undang.

— BERNAMA