Polis pukul pesalah trafik ditukar bahagian serta-merta

Polis pukul pesalah trafik ditukar bahagian serta-merta

Enam anggota termasuk pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah ditukar serta-merta selepas didakwa mengasari pesalah trafik di Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya juga sedang mengesan mangsa yang terbabit dalam insiden itu untuk membantu siasatan.

 

Satu laporan polis sudah dibuat oleh pihaknya sendiri bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu yang dilaporkan berlaku jam 1.15 pagi.

“Insiden itu dirakam menerusi kamera papan pemuka seorang pengguna jalan raya sebelum ia dimuat naik akaun Facebook ‘My Penang Hometown’.

“Polis sedang mengesan mangsa yang terbabit untuk tampil membuat laporan polis berkaitan insiden itu.

“Kita juga akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Facebook berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut, ” katanya hari ini.