Polis kesan lelaki lagak samseng di jalan raya

Polis kesan lelaki lagak samseng di jalan raya

 

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dirakam seolah-olah cuba membaling objek ke arah sebuah kenderaan yang melalui Jalan Temiang-Pantai di sini, pada Ahad.

Rakaman video berdurasi 11 saat yang memaparkan tindakan lelaki itu tular di media sosial sejak malam Ahad.

Ia dipercayai berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit membunyikan hon kepada sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan motosikal mereka di lorong kecemasan di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada tengah hari Ahad.

“Terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan kenderaan di laluan kecemasan di lokasi kejadian.

“Pada masa sama, rakaman dari kamera papan pemuka tersebut turut memaparkan seorang individu seakan-akan cuba untuk membaling objek ke arah kenderaan perakam,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Isnin.

Menurutnya, bertindak atas rakaman yang diperoleh, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pesalah yang terlibat.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan halangan di atas jalan yang boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya.