Polis buru suspek cubaan rogol seorang wanita di Taman Tasik

Polis buru suspek cubaan rogol seorang wanita di Taman Tasik

Keselamatan adalah perkara yang paling penting untuk dititik beratkan sejurus kita keluar dari rumah, lebih-lebih lagi jika anda keluar berseorangan.

Terbaru, seorang gadis hampir menjadi mangsa rogol seorang lelaki tidak bertanggungjawab ketika dia sedang beriadah di Taman Tasik Kubang Gajah, Temerloh, Pahang.

Menurut laporan Astro AWANI, Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, mangsa merupakan warga tempatan berusia 27 tahun telah didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali selepas mangsa melakukan senaman di kawasan riadah berkenaan.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 7 malam dan mangsa bagaimanapun sempat melarikan diri dan pergi ke balai polis berdekatan bagi membuat laporan sejurus berdepan dengan detik cemas tersebut.

Mohd Azhar memberitahu, hasil siasatan polis telah berjaya menimbulkan lakaran suspek yang dipercayai berusia lingkungan 30-an dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berkulit gelap.

Difahamkan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan rogol.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak beriadah di tempat sunyi seperti taman rekreasi, taman tasik dan sebagainya terutama selepas lewat petang, serta beriadah secara berkumpulan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut boleh menyalurkan maklumat kepada polis di talian 09-271 6222 atau emel [email protected] atau melaporkan di mana-mana balai polis yang berhampiran.

Jaga diri girls!