Polis buru pemandu langgar lari wanita di Lebuhraya Persekutuan

Polis buru pemandu langgar lari wanita di Lebuhraya Persekutuan

 

Polis sedang mengesan pemandu yang melanggar seorang wanita sehingga maut di Kilometer 7 di Lebuhraya Persekutuan jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 33 tahun itu dipercayai sedang berjalan apabila dilanggar kenderaan yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

“Mangsa berpakaian hitam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697 bagi membantu siasatan,” katanya.