Polis buru pemandu Bezza lari SJR, rempuh motosikal

Polis buru pemandu Bezza lari SJR, rempuh motosikal

 

 

 

 

 

Polis memburu pemandu sebuah kereta yang melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) dan melanggar sebuah motosikal di Kilometer 0.4 Lebuhraya Sprint, dekat Tol Damansara di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan SJR Op Alkohol di lebuh raya berkenaan.

“Anggota polis kemudian menahan sebuah Perodua Bezza yang melalui sekatan untuk pemeriksaan.

“Namun pemandu kereta terus memecut laju kenderaan sebelum merempuh sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan yang melalui sekatan sama,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Berikutan kejadian itu, Mohamad Fakhrudin berkata, polis kini sedang mengesan pemilik kereta bernombor pendaftaran WD2343E untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta pemilik atau pemandu kereta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Azaruddin Mokhtarzad di talian 011-11713436.