Polis buru lelaki pecahkan cermin kereta, ugut wanita

Polis buru lelaki pecahkan cermin kereta, ugut wanita

 

 

Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai bertindak memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang wanita dalam kejadian di kawasan simpang empat Limbat di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang berusia 40 tahun selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 35 tahun.

Menurutnya, polis telah menjalankan serbuan ke rumah suspek di Nilam Puri di sini kira-kira pukul 2.30 pagi tadi, namun lelaki itu tiada dan dipercayai telah menghilangkan diri.

“Mengikut keterangan mangsa, dia memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia seorang diri sebelum dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek kira-kira pukul 5.45 petang kelmarin.

“Lelaki itu secara tiba-tiba suspek telah menghalang laluan mangsa dan berhenti di tengah jalan. Suspek telah menghampiri kereta wanita itu sebelum memecahkan cermin kereta dan mengugut mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, sehubungan itu, Pasukan Bertindak Khas Jabatan Siasatan Jenayah Daerah dan Kontinjen Kelantan telah digerakkan untuk memburu suspek.

Katanya, polis ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak bertindak mengikut perasaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 dan Seksyen 427 kanun sama.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi dua minit 17 saat yang dirakam oleh mangsa selepas kereta dipandunya dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Menerusi video itu, suspek dilihat keluar dari keretanya dan memecahkan cermin pada bahagian tempat duduk pemandu sebelum mengugut mangsa.