PM umum 1.28 juta penjawat awam terima kenaikan gaji RM100 mulai januari 2023

PM umum 1.28 juta penjawat awam terima kenaikan gaji RM100 mulai januari 2023
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam bagi gred 11 hingga 56.

Pengumuman itu bakal dimanfaatkan seramai 1.28 juta penjawat awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

“Bayaran KGT itu merupakan antara enam inisiatif ditawarkan kepada penjawat awam,” katanya dalam ucapan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa.

Mengambil contoh penjawat awam gred 11 yang menerima kadar KGT RM80 sebelum ini, Ismail Sabri berkata, kakitangan tersebut akan menerima kadar KGT asas RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100.

“Ini menjadikan jumlah KGT diterima beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180,” katanya.

Menurutnya, inisiatif Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM700 akan dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah manakala RM350 bagi pesara dan veteran tidak berpencen yang diberi pada Januari 2023.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Adnan Mat dan menteri kabinet.

MAPPA XVIII yang berlangsung di PICC, Putrajaya, dihadiri lebih 4,000 penjawat awam secara fizikal dan 10,000 mengikuti di dalam talian. –SINAR HARIAN