‘Pijak’ teguran dari Zizi Kirana

‘Pijak’ teguran dari Zizi Kirana

Lagu Eh berjaya membawa nama penyanyi Zizi Kirana, 37, ke puncak kerjaya. Mesej yang dibawa lagu itu bukan saja menjadi bualan dalam kalangan peminat dan netizen, tapi sekali gus memberi satu jenama baharu pada Zizi Kirana.

Keberaniannya menegur sikap segelintir pihak menerusi lirik dalam lagu bukan sekadar satu bentuk hiburan semata, tapi lebih pada ingin menyatakan suara dan isi hati berkenaan apa yang berlaku di sekeliling hari ini.

Terbaharu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil muncul dengan single berjudul Pijak yang diterbitkan Def Jam Malaysia dan dilancarkan pada 25 Februari lalu.

Menariknya, lagu hasil ciptaan Zizi bersama Navigator dan Mambang itu adalah kesinambungan kepada lagu Eh yang mana menceritakan mengenai orang yang mengambil kesempatan di atas kelebihan dan kekurangan orang lain.

“Pendek kata lagu ini menggambarkan sikap seseorang yang suka pijak kepala. Ini antara cara untuk saya sampaikan nasihat. Bukan nasihat untuk orang saja, tapi untuk saya sendiri supaya tidak ambil kesempatan atas orang lain.

“Jadi, kita saling menasihati antara satu sama lain dan sebab itu ada kesinambungan antara lagu Eh dan lagu Pijak ini,” katanya.

 

SINGLE Pijak kesinambungan dari lagu Eh.
SINGLE Pijak kesinambungan dari lagu Eh.

 

Menurut Zizi, dia sudah biasa bekerjasama dengan penerbit lagu Pijak iaitu Navigator dan yakin dengan hasil lagu itu.

“Pengalaman bekerja dengan individu dalam lagu Pijak ini terutama sekali di bahagian pembikinan lagu saya masih mengekalkan pasukan yang sama iaitu Mambang dan Navigator sebab saya sangat selesa bekerja dengan mereka.

“Mereka sudah tahu apa yang sesuai dengan saya dan apa yang boleh saya sampaikan. Kami memang senang untuk bekerjasama. Tetapi, kalau ada peluang bekerja dengan orang lain saya okay sahaja, cuma Pijak ini saya selesa bekerja dengan orang sama.

“Dari segi muzik, Navigator yang menjalankan tanggungjawab itu seperti biasa dan saya suka bekerja dengan dia. Untuk lagu, saya selesa bekerja dengan Mambang. Ketika bekerja pada tahun lalu kami semua hanya melalui telefon.

“Pengurus saya pun cari waktu sesuai untuk lari sekejap ke studio dan terus pulang ke rumah selepas itu. Apabila semua sudah selesai dan kami satu pasukan berbincang yang lagu ini mahu dilancarkan pada tahun ini,” katanya.

Cabaran Pijak

Berkongsi lanjut mengenai lagu Pijak, Zizi juga pemenang kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) mengekalkan pengarah muzik video sama dengan lagu Eh iaitu Acip.

“Proses rakaman muzik video lagu ini masih mengekalkan pengarah yang sama iaitu Acip dan muzik video ini juga adalah kesinambungan daripada muzik video lagu Eh, cuma kali ini rentaknya berbeza sedikit.

“Sepanjang proses rakaman muzik video ini semuanya baik saja walaupun proses rakaman itu bermula dari pagi sampai malam. Saya dapat pengarah, pasukan, pengarah fotografi (DOP) dan ‘glam team’ yang ‘best’. Mereka adalah orang yang saya percaya,” katanya.

 

ZIZI selesa bekerjasama dengan pasukan sama.
ZIZI selesa bekerjasama dengan pasukan sama.

 

Begitu pun, Zizi berkongsi dia tetap berdepan cabaran dalam penghasilan lagu dan video muzik Pijak.

“Proses rakaman lagu ini sebenarnya daripada tahun lalu, tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi ia tertangguh hingga kita kena buat demo di rumah saja. Apabila sudah dibenarkan keluar selepas PKP baru pergi buat rakaman di studio.

“Cabaran dalam menyiapkan lagu dan muzik video ini bermula dari tahun lalu. Macam yang saya cakap disebabkan kita PKP pada tahun lalu dan tak boleh merentas negeri. Studio saya di Klang dan saya tak boleh pergi disebabkan saya berada di Kuala Lumpur ketika itu.

“Dalam masa sama, cabaran besarnya adalah apabila saya nak keluarkan lagu baharu selepas lagu Eh sebab saya tidak tahu apa akan jadi, tapi saya lalui saja macam biasa,” katanya.

Sama seperti single terdahulu, Zizi juga berharap lagu Pijak mendapat di hati peminat dan pencinta muzik tanah air.

“Jadi, harapan saya untuk lagu Pijak ini diterima sebab lagu ini dibuat berdasarkan apa yang sering berlaku dalam masyarakat kita dan kehidupan harian kita. Semoga lagu ini diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat dan diterima dengan hati terbuka,” katanya.