Pesawat China Eastern berkecai

Pesawat China Eastern berkecai

membawa 132 orang terhempas di selatan China hari ini, kata pihak berkuasa aviasi dengan media pemerintah melaporkan bahawa nahas mencetuskan kebakaran di sebuah kawasan pergunungan, manakala jumlah korban belum dapat disahkan.

Penerbangan Boeing 737 dari bandar Kunming ke hab selatan, Guangzhou itu ‘terputus hubungan di Wuzhou’ iaitu sebuah bandar di rantau Guangxi, kata Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dalam satu kenyataan secara online.

“Setakat ini, adalah disahkan bahawa penerbangan tersebut terhempas,” kata CAAC sambil menambah,  pihaknya telah mengaktifkan tindakan kecemasan dan menghantar kumpulan petugas ke lokasi kejadian.

“Pesawat itu membawa 123 penumpang dan 9 kru penerbangan,” kata CAAC lagi.

Terdahulu, media pemerintah melaporkan pesawat itu membawa seramai 133 orang.

Media rasmi pemerintah, CCTV melaporkan bahawa pesawat itu terhempas di daerah Teng, dekat Wuzhou dan mencetuskan ‘api setinggi gunung’.

Kebimbangan tentang nasib yang menimpa pesawat itu tersebar selepas media tempatan melaporkan bahawa Penerbangan China Eastern MU5735 itu gagal tiba di Guangzhou selepas berlepas dari Kunming sejurus selepas pukul 1 tengah hari (waktu tempatan).

“Lokasi tepat nahas itu adalah perbandaran Langnan di daerah Teng,” kata seorang pegawai tempatan kepada agensi berita AFP.

Laman pemantauan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan tiada lagi data untuk Penerbangan MU5735 selepas pukul 2.22 petang apabila kapal terbang itu sampai ke Wuzhou.

Data terakhir menunjukkan pesawat itu menjunam dari ketinggian 29,100 kaki kepada 3,225 kaki dalam masa tiga minit sebelum maklumat penerbangan terhenti. – AFP