Peruntukan RM15 juta untuk seni dan budaya amat sedikit berbanding JASA yang dapat RM85.5 juta

Bidang seni dan budaya hanya disentuh sekali imbas saja semasa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 d Dewan Rakyat petang semalam.

Justeru tidak hairan beberapa penggiat seni masih tidak jelas dengan peruntukan sebenar yang disediakan kerajaan untuk industri itu.

Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) Mat London berkata, jumlah RM15 juta yang diperuntukkan kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) sangat sedikit selain menimbulkan kemusykilan golongan sasaran sebenar.

“Jika untuk industri televisyen dan filem, itu bukan satu bajet kerana pada kebiasaannya belanjawan diperuntukkan untuk bidang ni sekurang-kurang bermula RM50 juta hingga RM200 juta.

“Jika nak beri kepada pekerja belakang tabir seperti penari, pemuzik atau penggiat teater, bolehlah, ia mencukupi tapi bukan untuk yang berada dalam bidang televisyen atau filem. Untuk penggiat filem khususnya, membuatkan kami terkejut, terkedu, lemah dan longlai.

“Jumlah pekerja belakang tabir saja sebenarnya terdiri daripada 25,000 orang, jadi bagaimana perkiraan mereka? Hal ni buatkan kami semakin resah dengan bajet begitu sedikit, tak cukup untuk tampung sampai setahun,” katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Zafrul di Dewan Rakyat mengumumkan dana berjumlah RM15 juta ringgit disediakan buat industri seni budaya tanah air kerana kerajaan didakwanya mendengar keluhan penggiat seni termasuk pekerja belakang tabir.

 

Peruntukan itu diberi kepada Cendana untuk melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan yang dikatakan bakal memanfaatkan lebih 5,000 penggiat seni dan pekerja belakang tabir .

Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim, 71, berkata, keluhannya itu tidak bermaksud dia marah, sebaliknya satu usaha agar kerajaan mempertimbangkan permohonan penggiat seni sepertinya.

Penanda aras sesuatu tamadun

“Saya bukan marah, cuma meletakkan sedikit harapan agar dapatlah kerajaan mempertimbang permohonan dari kami. Berilah sedikit peluang kepada kami yang dah lama terbelenggu dengan bantuan.

“Adakah kerajaan sudah melupakan kami? Biasanya RM100 juta hingga RM200 juta setahun parking di Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, tapi ni parking kat Cendana.

 

“Kita mempunyai 120 produksi tapi sekarang cuma 75 produksi saja yang mampu melaksanakan kerja ketika situasi Covid-19 semakin mencabar, yang lain tu semua tunggu, lihat dan tangguh. Kami tak dapat penjanaan lain,” katanya.

Sementara itu, penulis dan aktivis kebudayaan Raja Ahmad Aminullah, 65, berkata, dia menyokong sebahagian belanjawan diumumkan.

Antaranya Bantuan Prihatin Rakyat kerana ia menandakan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat ketika suasana Covid-19 belum reda.

Bagaimanapun, hal itu katanya, amat berbeza untuk bidang kesenian dan kebudayaan.

“RM15 juta tu satu jumlah yang sedikit. Negara berada dalam keadaan luar biasa menangani pandemik, ia bukan soal kecil. Meskipun begitu, kerja tetap kena berjalan terus.

“Misalnya, menteri boleh peruntukkan RM50.4 billion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan untuk pendidikan, saya anggap satu perkara bagus, tapi jangan lupa kegiatan kesenian dan kebudayaan kerana ia penting untuk pembangunan bangsa.

“Pertama, kegiatan seni kesan akhirnya adalah untuk memandaikan bangsa dan kedua untuk meningkatkan harakat dan martabat bangsa. Tak ada bangsa dianggap satu negara maju tanpa ada seni dan budaya. Kita tahu kegiatan budaya ni suatu tanda aras sesebuah tamadun,” katanya.

 

Menurut Raja Ahmad, hal yang berlaku ke atas seni dan budaya bukan perkara baru. Pun begitu dia memasang sedikit harapan agar Putrajaya memandang ke depan sedikit berbanding kerajaan terdahulu.

“Kerajaan terdahulu tak begitu bersedia untuk memajukan seni dan budaya. Betapa kecil perhatian pemerintah sejak 1990-an hingga 2000-an, dari BN hingga Pakatan Harapan dan sampai sekarang, ahli politik kurang sensitiviti terhadap keperluan seni dan budaya.

“Jika mereka tahu ia penting seperti bidang pendidikan, mesti mereka akan bagi perhatian pada seni dan budaya, tapi peruntukan disalurkan pada Cendana.

“Cendana tu pun ramai tak tau apa. Wewenang badan seperti ini harus diketahui, jika kurang dikenali mengapa tak diuar-uarkan lebih meluas di media sosial,” katanya.

Selain itu Raja Ahmad berkata dia ada terdengar banyak rungutan mengenai kesukaran penerima dana berurusan dengan agensi sekiranya mereka berada di luar kawasan Lembah Klang.

“Saya diberitahu oleh kawan-kawan, betapa payahnya penggiat seni berurusan jika berada di kawasan luar urban. Difahamkan kerenah banyak juga.

“Ini adalah hal yang wajar diperkirakan kerana ada satu tanggapan bahawa agensi seperti itu harus faham kewujudan persembahan mereka dalam bahasa kebangsaan. Yang berada di Kuala Lumpur, boleh berbahasa Inggeris tak ada masalah,” katanya.

Sumber: Malaysiakini