Persatuan OKU Perak pula buat laporan terhadap Kak Long 7e

Persatuan OKU Perak pula buat laporan terhadap Kak Long 7e

Ipoh: Persatuan Orang Kurang Upaya Perak (POKUP) hari ini turut menambah ‘koleksi’ laporan polis ke atas wanita dikenali Kak Long 7E yang didakwa mempersenda golongan kurang upaya (OKU).

Laporan dibuat pertubuhan itu di Balai Polis Sungai Senam, di sini pada 5.30 petang.

Sebelum ini, beberapa pertubuhan OKU di seluruh negara membuat laporan polis membantah tindakan wanita berkenaan.

Timbalan Presiden POKUP Muhamad Firdaus Ibrahim berkata, pihaknya mahu wanita itu sedar perlakuan mengajuk dan mempersenda OKU untuk meraih populariti adalah melampau, keterlaluan dan mengguris perasaan mereka.

“Dia minta maaf dalam keadaan dia anggap dia tidak melakukan kesalahan.

“Hati dan perasaan OKU bukan perkara boleh dibuat-buat (dipermainkan), begitu juga dengan menghina OKU, ia bukan satu benda yang boleh dipermainkan.

“Kami ada perasaan, ada kehendak, ada maruah. Jadi perkara sebegini perlu dihentikan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan dan mengenakan tindakan ke atas wanita itu, sekurang-kurangnya melakukan kerja amal untuk memberi pengajaran kepadanya dan masyarakat secara keseluruhan.