Perniaga durian tak setuju kena guna pensijilan SIRIM menjelang 2023

Perniaga durian tak setuju kena guna pensijilan SIRIM menjelang 2023

 

 

 

 

 

Rata-rata penjual durian tempatan yang ditemui oleh akhbar theSun berkata, pensijilan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk durian Musang King akan membebankan perniagaan mereka dan menaikkan lagi harga buah itu.

Maklum balas yang diterima tersebut adalah susulan dari kenyataan Pengarah SIRIM Perak, Mohd Adzhar Ahmad baru-baru ini mengenai perancangan badan itu untuk melaksanakan pensijilan bagi varian Musang King bagi memastikan kualiti buah itu dan menstabilkan harganya.

Piawaian itu sedang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perak bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan akreditasi tersebut akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.

Seorang penjual durian, Ah Hee yang mengusahakan perniagaan Sinnaco Durian Specialist di Petaling Jaya menyifatkan idea itu sebagai ‘mengarut’ dan berkata pensijilan SIRIM itu tidak akan memastikan konsistensi kualiti kerana pulpa durian tidak sama dari satu buah ke buah yang lain dari segi tekstur dan rasa.

“Menghasilkan varian Musang King adalah satu proses yang sukar. Ia mengambil masa dari 20 hingga 30 tahun untuk menanam pokok yang matang. Cuaca yang baik, tanah yang betul dan baja yang cukup diperlukan. Jika satu bahagian ladang mempunyai tanah yang sedikit berbeza, pastinya buah dari pokok-pokok itu rasanya juga akan sedikit berbeza. Pensijilan ini tidak bermakna bagi petani dan penjual.

“Sekarang ini pun hanya 70% Musang King yang dikeluarkan dapat dijual, manakala selebihnya dibuang kerana gagal memenuhi piawaian pasaran.

Jika SIRIM berkeras juga mahu menggunakan pensijilannya, maka pengeluaran sebenar mungkin menurun kepada 30%. Ini akan menyebabkan harga akan meningkat lebih tinggi lagi,” katanya kepada theSun.

Durian SIRIM

Ah Hee juga berkata dari ladang ke kedai, penjual sudah melakukan kawalan kualiti yang menyeluruh untuk pelanggan.

“Adalah sukar untuk memenuhi setiap keperluan pensijilan kerana kami sentiasa memastikan rasanya sedap memandangkan harga tinggi yang dibayar pelanggan.

“Kita tidak boleh merasai setiap buah untuk memastikan kualitinya. Rasa semula jadi bagi setiap varian adalah berbeza antara satu buah dengan buah yang lain dan ini adalah berdasarkan pengalaman dari petani itu sendiri,” tegas Ah Hee lagi.

Seorang penjual durian tepi jalan, yang hanya mahu dikenali sebagai Ling berkata pensijilan SIRIM itu hanyalah beban tambahan kepada penjual.

“Jika anda meletakkan banyak keperluan dan proses untuk menjual Musang King, bekalan akan berkurangan dan harga akan meningkat.

“Musang King memang sudah mahal sekarang ini. Kami juga perlu membayar pembekal kami lagi. Apabila durian sampai kepada pelanggan kelak, pasti harganya akan menjadi jauh lebih mahal lagi dari harga sekarang,” jelas Ling.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pula berkata ia tidak melihat sebarang keperluan untuk melaksanakan pensijilan SIRIM untuk durian Musang King.

“Pengguna tidak akan mendapat manfaat daripada idea ini. Terdapat perkara yang lebih penting yang memerlukan pensijilan SIRIM, khususnya perkara yang memberi kesan kepada orang ramai, seperti produk elektrik yang kami gunakan atau makanan yang kami makan,” jelas Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.

Tambahnya, kos pensijilan SIRIM akan diserahkan kepada pengguna dan ini sudah tentu akan meningkatkan lagi harga durian itu.

 

Sumber: TheSunDaily