Pernah memegang jawatan menteri kewangan di Afghanistan, kini Khalid Payenda pemandu uber di Washington

Pernah memegang jawatan menteri kewangan di Afghanistan, kini Khalid Payenda pemandu uber di Washington

Washington: Beberapa hari sebelum Afghanistan jatuh ke tangan Taliban pada Ogos tahun lalu, presidennya Ashraf Ghani, dipelawa ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Enam bulan kemudian, Khalid Payenda, yang pernah menjadi menteri kewangan kepada Ghani, memandu Uber di Washington.

“Jika saya melengkapkan 50 perjalanan dalam dua hari akan datang, saya menerima bonus AS$95 (kira-kira RM397),” kata Khalid kepada Washington Post, dari dalam sebuah Honda Accord.

Lelaki berusia 40 tahun itu pernah menyelia bajet AS$6 bilion (kira-kira RM25.11 bilion) yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Washington Post melaporkan bahawa dalam satu malam awal minggu ini, dia meraih ‘lebih sedikit’ iaitu kira-kira AS$150 (kira-kira RM627 ) untuk kerja enam jam.

Khalid bersyukur kerana diberi peluang untuk menyara keluarganya.

“Saya tidak tergolong di sini dan saya tidak tergolong di sana. Ia adalah perasaan yang sangat kosong,” katanya.

Afghanistan menghadapi krisis kemanusiaan dan ekonomi, aset dibekukan dan terputus daripada bantuan antarabangsa.

Negara itu memerlukan pengiktirafan terhadap Taliban sebagai pihak berkuasa bagi menggantikan kerajaan terdahulu yang disokong AS.

Washington Post menggambarkan pengalaman Khalid pada akhir 2020, apabila ibunya meninggal dunia akibat Covid-19, di sebuah hospital yang daif di Kabul.

Dia menjadi menteri kewangan selepas itu.

“Saya melihat banyak keburukan dan kami gagal. Saya adalah sebahagian daripada kegagalan,” katanya.

Khalid memberitahu Washingotn Post bahawa dia percaya rakyat Afghanistan “tidak mempunyai keinginan kolektif untuk melakukan pembaharuan”.

Katanya, AS mengkhianati komitmennya terhadap demokrasi dan hak asasi manusia selepas menjadikan Afghanistan sebagai pusat dasar pascatragedi 11 September.

“Mungkin ada niat baik pada mulanya tetapi AS mungkin tidak bermaksud melakukan sebegini,” katanya.

Khalid meletak jawatan sebagai menteri kewangan seminggu sebelum Taliban merampas Kabul, kerana hubungannya dengan Ashraf merosot.

Akibat bimbang ditangkap, dia pergi ke AS untuk menyertai keluarganya.

“Kami mempunyai 20 tahun dan sokongan seluruh dunia untuk membina sistem yang akan berfungsi untuk rakyat,” kata Khalid dalam mesej kepada pegawai Bank Dunia di Kabul pada hari ibu negara itu jatuh.