Perlaksanaan semula PKP akan bagi kesan tidak baik pada ekonomi negara – PM
Kesan besar terhadap sosial dan ekonomi boleh berlaku sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di seluruh negara.
Dengan itu, kerajaan menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di zon-zon merah sahaja.
Ini bagi membolehkan kawasan yang tidak terjejas teruk masih boleh menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial asalkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun, sekiranya timbul keperluan untuk melaksanakan sebarang sekatan, kerajaan katanya, berjanji akan memberikan masa yang secukupnya kepada rakyat untuk membuat persediaan.
Tambahnya, setiap keputusan akan dibuat melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersandarkan kepada data-data yang telah dikumpul melalui sumber-sumber berautoriti.
“Saya tahu ramai yang memberikan cadangan tentang pengurusan Covid-19 ini kerana mereka semua prihatin.
“Saya menghargai semua pandangan tersebut dan jika sesuai akan dikemukakan dalam mesyuarat Sidang Khas MKN untuk dibincangkan dan dibuat keputusan.
“Pada ketika ini, yang penting adalah tidak menunding jari, saya tahu ada pihak-pihak yang menangguk di air keruh.
“Jangan pedulikan mereka,” katanya semasa perutusan khas mengenai Covid-19 hari ini.
Sambil meminta orang ramai supaya tidak cepat panik dan membuat kesimpulan sendiri, Muhyiddin berkata, pemulihan ekonomi berada dalam keadaan baik.
Setiap keputusan yang dibuat kerajaan katanya, akan mengambil kira mengenai nasib 15 juta rakyat yang bekerja.
Sumber – MalaysiaGazette