Perlaksanaan PKP menyebabkan PLUS rugi RM400 juta

Perlaksanaan PKP menyebabkan PLUS rugi RM400 juta

 PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengalami kerugian kira-kira RM400 juta dalam tempoh tiga bulan bermula Mac berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu berkurangan sebanyak 90 peratus, daripada 1.7 juta kenderaan sehari kepada 170,000 kenderaan sehari dalam tempoh tersebut.

“Hasil kita jatuh sebanyak 90 peratus iaitu pada Mac, April dan Mei, bagaimanapun, ia kembali meningkat bermula 6 Jun selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri.

“(Namun), RM400 juta tidak boleh diperoleh semula dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada syarikat dan pekerja,” katanya pada program Bual Eksekutif: Leadership In Steering The Organisation Across Turbulent Time Towards Recovery From COVID-19 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Beliau berkata jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya PLUS kini meningkat kepada 1.5 juta sehari dan dijangka terus meningkat jika kerajaan membuka sepenuhnya pintu sempadan Malaysia-Singapura pada masa akan datang.

Katanya, pengurusan PLUS membuat banyak keputusan penting untuk mengelak impak yang besar kepada pengoperasian PLUS dan kebajikan pekerja melalui persetujuan pihak pengurusan dan kesatuan pekerja.

“Antaranya tiada penganjuran program atau sambutan seperti hari raya, tiada pakaian seragam baharu dan kenaikan gaji pada tahun ini.

“Apa pun saya tidak akan memotong gaji pekerja dan akan memastikan kira-kira 3,800 orang dapat terus bekerja dalam situasi getir ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata PLUS tidak melupakan aspek tanggungjawab sosial korporat kepada barisan hadapan khususnya pihak hospital di negara ini dalam menangani pandemik COVID-19.

“PLUS telah menyalurkan RM1.2 juta bagi menyediakan peralatan perlindungan diri dan peralatan perubatan untuk disumbangkan kepada Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

“Pekerja PLUS turut membuat kutipan berjumlah RM128,000 untuk disumbangkan dalam bentuk fasiliti perubatan kepada tujuh hospital di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata program itu merupakan platform terbaik bagi tokoh negarawan dan ilmuan negara untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman luas mereka bersama seluruh warga UTeM dalam menyokong pembangunan modal insan yang lebih cemerlang.

Sumber : Metro

COMMENTS