“Perbetulkan keadaan hal rumah tangga, kami tak mahu lihat mereka bercerai” – Datuk Yusof Haslam
Pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam meminta anak lelakinya Syamsul Yusof dan isteri Puteri Sarah Liyana menyelesaikan konflik rumah tangga mereka dengan secepat mungkin.
Memetik laporan Utusan Online, figura berusia 68 tahun itu mengakui kecewa dan sedih terhadap kontroversi berlaku dan berharap pasangan tersebut dapat menjernihkan semula hubungan.
“Secara peribadi, saya rasa tidak adil jika rumah tangga mereka berakhir dengan perpisahan. Itu adalah perkara yang amat menyedihkan dan saya tidak melihat apa-apa kebaikan di situ.
“Saya dan isteri sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka, anak-anak dan besan kami. Demi anak-anak dan nama baik keluarga, selesaikanlah dengan cara yang terbaik,” katanya.
Menurut Yusof, dia mahu anak dan menantunya tampil berbincang dan tidak membiarkan ia terus meruncing.
“Saya bangga dengan apa yang dicapai Syamsul ketika ini. Saya hormat dia. Cuma saya harap dia tak lupa asal usul.
“Dalam hal rumah tangga, saya minta dia dan Puteri Sarah perbetulkan keadaan. Saya dan isteri tak mahu melihat mereka bercerai,” ujarnya.
Terdahulu, Sarah yang juga seorang pelakon tampil mendedahkan bahawa rumah tangganya diganggu orang ketiga sejak empat tahun lalu.
Berikutan itu, dia memfailkan satu tindakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor terhadap seorang wanita dikenali sebagai Ira Kazar.
Untuk rekod, Sarah mendirikan rumah tangga dengan Syamsul yang juga seorang pengarah filem pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Sumber: Utusan Online (Mohammad Al Faizal Abdul Karim)