Penyokong di negeri fasa 2, 3 & 4 benar hadir ke tempat perlawanan sukan, tapi perlu lengkap 2 dos vaksin – PM

Penyokong di negeri fasa 2, 3 & 4 benar hadir ke tempat perlawanan sukan, tapi perlu lengkap 2 dos vaksin – PM

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa kelonggaran telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik hari ini.

Kelonggaran baharu yang ditetapkan adalah seperti berikut:

1. Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50% ruang premis, manakala 100% kapasiti penuh bagi Fasa 4.

Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani pre-event test menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.

2. Pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuatkuasa 15 Oktober 2021.

3. Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4.

Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton/penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.