Penyewa tak bayar duit sewa, siap guna hujah agama untuk buat tuan rumah serba salah
Melayan kerenah penyewa yang tidak membayar sewa rumah antara mimpi ngeri buat semua pemilik kediaman. Macam sebuah perkongsian yang menjadi bualan ramai apabila seorang individu berkongsikan tentang penyewa rumahnya yang culas membayar sewa malah turut menggunakan hujahan agama untuk ‘menghalalkan’ perbuatannya itu.
Menerusi hantaran yang dimuat naik semula di Twitter, pemilik rumah itu berkongsikan tentang penyewa di rumahnya yang tidak membayar sewa selama tiga bulan. Dia kemudian memberikan notis awal kepada penyewa itu untuk keluar dari rumah tersebut tambahan pula dia ingin melakukan renovasi di rumah itu.
Menurutnya, penyewa itu tidak membayar sewa RM900 sebulan selama tiga bulan berturut-turut dengan alasan tidak mempunyai wang. Lebih menyakitkan hati, penyewa itu turut memberikan hujahan agama untuk membela dirinya dan meminta pemilik rumah supaya ‘menghalalkan’ sahaja apa yang terjadi.
Payah juga nak orang keluar dari rumah sewa. pic.twitter.com/wogs1JlZfk
— 🏳️🌈✨meissquen✨🏳️🌈 (@meinmokhtar) September 29, 2022
Menurut pemilik, rumah yang disewakan itu adalah kondominium dengan harga RM900 sebulan. Dia juga memberitahu harga sewa itu juga adalah jauh lebih murah kerana kawasan itu kebanyakannya mengenakan sewa sebanyak RM1200.
Difahamkan, pemilik rumah juga seakan redha dengan kerenah penyewanya itu dan hanya memintanya untuk keluar sahaja dari kondominium tersebut tanpa perlu membayar hutang tunggakan. Namun yang peliknya, penyewa itu masih lagi enggan keluar dari rumah tersebut malah memberitahu tindakan pemilik rumah itu akan menyusahkan dia.
Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen turut sama ‘panas hati’ melihat sikap penyewa itu yang langsung tidak rasa bersalah. Dalam masa yang sama, orang ramai turut meminta pemilik rumah mengambil tindakan undang-undang sahaja terhadap penyewanya yang masih degil untuk keluar dari rumahnya ini.