Pensyarah pro PAS tegur ulamak PAS tentang arak

ADAKAH MINUM ARAK MERUPAKAN HAK NON-MUSLIM? ARAK HANYA DIBENARKAN BUKAN HAK ASASI NON-MUSLIM

Timbul perbahasan yang sungguh menjengkelkan sesetengah pihak, non-Muslim mempunyai hak untuk minum arak. Satu persoalan yang saya ingin berikan terhadap dakwaan ini: bilakah minum arak menjadi hak asasi bagi non-Muslim?

Tiada langsung perbahasan mengenai hak asasi manusia untuk meminum arak. Hanya kedapatan dalam perbahasan hak asasi manusia, bahawa seseorang mendapat kebebasan bagi memberi ruang untuk seseorang melakukan aktiviti individu. Justeru, ia bukanlah hak asasi minum arak tetapi lebih kepada hak asasi kebebasan individu.

Mungkin juga, minum arak ini kedapatan dalam upacara beragama. Terutamanya upacara hidangan bersama arak yang dilaksanakan oleh institusi-institusi agama, ataupun upacara kebudayaan santapan bersama arak. Justeru, hak asasi di sini merupakan hak asasi beragama yang perlembagaan Malaysia membenarkannya iaitu apa sahaja amalan beragama walaupun melibatkan arak, ia mendapat jamiman perundangan.

Oleh demikian, minum arak bagi non-Muslim bukanlah hak tetapi hanya dibenarkan oleh perundangan negara. Jikalau minum arak merupakan hak, ini bermakna, kerajaan Malaysia bertanggungjawab dan berkewajiban memastikan non-Muslim mendapat bekalan arak yang mencukupi. Situasi ini sangat menjengkelkan.

Padahal, kerajaan dan perlembagaan Malaysia hanyalah membenarkan non-Muslim minum arak atas dasar kebebasan dan keagamaan non-Muslim. Tidak lebih dari itu, sehingga kerajaan berkewajiban dan bertanggungjawab memastikan non-Muslim mendapat bekalan mencukupi untuk meminum arak.

Mungkin sahaja bagi sesetengah pihak, perbahasan ini merupakan perbahasan kecil dan picisan, kerana hanya melibatkan penggunaan istilah semata-mata. Tetapi sebenarnya, implikasi istilah ini sangat berat kerana bagi setiap hak mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Hak tidak boleh dipandang bersendirian kerana hak perlu digandingkan dengan pemberian hak yang bermaksud perlaksanaan tanggungjawab.

Dengan pemahaman lain, Non-Muslim boleh dibenarkan minum arak dalam ruang yang dibenarkan oleh perundangan negara. Tidaklah sampai ke tahap berpesta seperti Oktober Fest, yang menganjurkan pesta arak ke publik. Maksud dibenarkan adalah tidak boleh melampaui undang-undang. Ia bukanlah hak yang boleh menuntut orang ramai menyaksikannya tanpa bantahan, tanpa sekatan.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

Sumber : https://www.facebook.com/500125093497353/posts/1781759208667262/