Penjual jeruk ‘lampu isyarat’ simpan stok dalam longkang

Penjual jeruk ‘lampu isyarat’ simpan stok dalam longkang

JOHOR BAHRU: Stok buah jeruk yang dijaja di persimpangan lampu isyarat di sekitar Bandar Baru Uda di sini didapati disorokkan di dalam longkang.

Aktiviti tersebut terbongkar dalam Ops Khas Penjaja Jalanan yang diketuai PT Penguatkuasa Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, ASP Mohd Zainuddin Abu Bakar bersama lima anggota pada semalam.

Pembongkaran tersebut didedah Ketua JSPT Johor, Superintendan M Kumarasan A/L Muniandy dalam satu kenyataan di laman Facebook Polis Johor hari ini.

“Hasil operasi yang dijalankan mendapati makanan yang dijaja iaitu ‘buah jeruk’ disimpan dan disorok di lokasi yang tidak sepatutnya iaitu di dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi menggelak tindakan diambil oleh pihak penguatkuasa.

“Ini merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab dan mengambil remeh tentang isu kebersihan makanan dan risiko penyakit bahaya disebarkan pencemaran,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Menurut kenyataan itu, kegiatan tersebut juga datang daripada sikap individu yang ingin mencari jalan mudah dengan meraih simpati pengguna jalan raya.

Jelasnya, ia dijalankan dengan cara menggajikan pekerja asing bagi menjaja buah jeruk berkenaan tanpa mengira risiko dan bahaya kepada penjaja itu sendiri serta pengguna jalan raya lain, khususnya kemalangan.

“Aktiviti menjaja di jalan awam merupakan kesalahan yang jelas yang mana melanggar peraturan dan undang-undang.

“Mana-mana individu yang menjalankan urusan jual beli di jalan awam iaitu menjual dan membeli boleh diambil tindakan dibawah Kaedah 10A (1) & Kaedah 10A (2) LN 166/59 yang mana boleh diambil tindakan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

“Di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) juga jelas ianya melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan kompaun dan sita semua barang-barang yang dijaja,” tambah kenyataan itu lagi.

Kegiatan menjaja di jalan awam perlu dihentikan

Tegasnya lagi, kegiatan menjaja di jalan awam seperti ini perlu dihentikan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini termasuk kemalangan maut berlaku, selain turut berisiko menyebabkan gangguan kelancaran aliran trafik.

“Selain itu, persepsi dan rasa simpati terhadap golongan ini perlu difikirkan kerana secara jelas ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang dengan menggajikan warga asing.

“(Ia juga turut) jelas mengabaikan aspek kebersihan terhadap makanan bagi mengaut keuntungan dengan mudah dan cepat,” katanya.

Sebelum itu, menurut M Kumarasan, operasi tersebut pernah dijalankan secara bersepadu bersama PBT, namun ia didapati semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

“Berdasarkan statistik dan data yang diperolehi, terdapat 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan di dalam Johor dan tumpuan utama adalah di persimpangan lampu isyarat di laluan utama,” katanya.

Difahamkan, Ops Khas Penjaja Jalanan yang dijalankan itu adalah ekoran daripada aduan-aduan yang diterima daripada masyarakat mengenai kegiatan tersebut yang semakin berleluasa di bandar berkenaan.

Gambar: Polis Johor
Gambar: Polis Johor