Pengunjung dilarang kunjungi fenomena ‘laut terbelah’ di Pantai Mek Mas

Pengunjung dilarang kunjungi fenomena ‘laut terbelah’ di Pantai Mek Mas

Selepas kerajaan memberikan kebenaran merentas negeri dan melancong ke seluruh negara, rakyat Malaysia menggunakan masa ini sebaiknya. Banyak tempat-tempat pelancongan kembali penuh dengan kehadiran pelancong. Ada juga tempat-tempat yang sebelum ini tidak diketahui orang tetapi kini sudah mulai dipenuhi ramai pengunjung.

Itulah apa yang berlaku di Pantai Mek Mas, Kuala Besar Kelantan selepas tersebar gambar menunjukkan fenomena laut terbelah. Ini menjadi tarikan terbaru negeri itu dan ramai yang pergi ke sana untuk melihat sendiri fenomena laut terbelah.

Namun, atas faktor keselamatan, pihak berkuasa terpaksa menutup kawasan itu dengan pita amaran termasuk papan tanda amaran serta bendera merah. Kawasan ini telah ditutup sejak tiga hari lalu dan melarang pengunjung menghampiri lokasi laut terbelah.

Sejak beberapa hari lalu, ombak dan air pasang besar menyebabkan benteng pasir yang sebelum ini boleh dilalui kelihatan semakin tenggelam. Kita ambil langkah awal dengan menutup kawasan memandangkan ketika tular, jumlah pengunjung yang datang ke sini mencecah 500 orang pada hari minggu. – Kata penghulu mukim Che Latiff, Zinuddin Daud.

Penghulu turut mengingatkan orang ramai untuk mematuhi arahan penutupan itu dan tidak melakukan aktiviti riada berhampiran laut terbelah demi keselamatan.

Fenomena laut terbelah ini muncul sebulan lalu selepas paras laut surut membentuk benteng pasir. Ombak kemudian muncul diantara benteng pasir itu dan terlihat seperti laut terbelah.

Kredit: Harian Metro