Penggulingan Peja diselesaikan dengan satu permohonan maaf

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tindakan yang dilakukan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Perak baru-baru ini.

Permohonan maaf Presiden UMNO itu disampaikan kepada Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu pertemuan di Parlimen pada Rabu.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pertemuan itu, ketiga-tiga pemimpin parti politik UMNO, Pas dan Bersatu itu juga mencapai kata sepakat mencadangkan ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan media yang ditandatangani ketiga-tiga mereka hari ini.

“Presiden Bersatu, Presiden Pas dan Pengerusi Barisan Nasional disertai sama Setiausaha Agung ketiga-tiga parti pada hari ini telah mengadakan perbincangan mengenai pembentukan kerajaan negeri Perak.

“Dalam perbincangan ini, Pengerusi Barisan Nasional (Ahmad Zahid) telah menyampaikan penyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN BN Perak atas kekhilafan yang berlaku.

“Atas semangat permuafakatan Perikatan Nasional, ketiga tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan YB Dato’ Haji Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, perbincangan di antara ketiga-tiga pimpinan tertinggi parti juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain di dalam kerajaan negeri.

Kesemua pemimpin parti berkenaan juga, kata kenyataan itu, turut sepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan PN di Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

Krisis pembentukan kerajaan Perak tercetus selepas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat lalu.

Dalam undian terhadap usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) itu, Ahmad Faizal dari Bersatu hanya mendapat 10 undi berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Susulan itu, Ahmad Faizal semalam meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/zahid-hamidi-mohon-maaf-perikatan-nasional-setuju-saarani-dicadang-sebagai-mb-perak-272369