Pengerusi Mara tegur ibubapa, jangan menipu pendapatan hanya supaya anak diterima masuk MRSM

Pengerusi Mara tegur ibubapa, jangan menipu pendapatan hanya supaya anak diterima masuk MRSM

 

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan ibu bapa supaya tidak menipu pendapatan untuk dikategorikan dalam golongan B40 supaya anak mereka diterima memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Tindakan terbabit katanya memberi kesan kepada pelajar miskin lain kerana hak mereka telah diambil.

“Usahlah menipu pendapatan hanya untuk dikategorikan B40 supaya anak diterima MRSM.

“Kesian kepada anak-anak yang belajar dalam keadaan tiada keberkatan akibat mengambil hak orang miskin yang lain,” tegurnya di Facebook.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, tidak pernah ada dasar menyatakan hanya pelajar miskin boleh memasuki MRSM sejak penubuhan institusi pendidikan itu, tetapi keutamaan tetap diberikan kepada anak daripada golongan berpendapatan rendah.

Dasar MARA menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM adalah dalam kalangan B40, manakala selebihnya mereka yang layak iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) daripada kalangan M40 dan T20.

MRSM ditubuhkan untuk melahirkan generasi pelajar holistik di kalangan Bumiputera yang cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pada masa sama menerapkan keperibadian seimbang berteraskan nilai, adab serta akhlak Islam.