Pengasas kini antara bilionair terkaya Malaysia, bekas pekerja dedah realiti sebenar kerja di kedai runcit ternama

Pengasas kini antara bilionair terkaya Malaysia, bekas pekerja dedah realiti sebenar kerja di kedai runcit ternama

 

Dalam satu siri ciapan yang tular di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter), bekas pekerja 99 Speedmart tampil berkongsi pengalaman realiti bekerja di jenama yang kini pengasasnya sudah bergelar juawan.

Dalam siri ciapan tersebut, antara dakwaan yang menjadi keluhan di kalangan pekerja ini adalah gaji yang rendah, waktu kerja yang panjang, dan manfaat yang hampir tidak wujud.

“So berapa gaji minimum dia bayar pekerja kedai? 3k? 4k? Seminggu kerja 5 hari? 6 hari? Ada annual dinner? Ada bonus? Ada company trip? Ada work union? Tak guna jadi billionaire kalau tak mampu bagi ni semua dekat pekerja. Done sembang benefit pekerja,” kata salah seorang pengguna X yang membangkitkan isu ini selepas pengasas jenama ini mendapat status jutawan.

Melalui satu ciapan balas oleh seorang individu menggambarkan kekecewaannya terhadap faedah yang disediakan kepada pekerja.

Menurutnya, walaupun bekerja dengan jawatan sebagai pengurus cawangan atau pembantu pengurus, gajinya kurang daripada RM2,800.

Dia juga menyatakan tiadanya syif tetap dan cuti rehat, menjadikannya sukar untuk mengimbangkan antara kerja dan kehidupan peribadi.

Tambahan pula, pemotongan terhadap kerja lebih masa (OT) dan pembayaran terhadap kerugian produk menjadikan situasi lebih buruk.

“Benefit? Kahkahhh. Jgn sembang benefit lah kalau 99, lebih kpd disadvantage mat… Gaji? <rm2800,” katanya dalam ciapan yang kini tular dengan lebih 78,000 tontonan.

Seorang lagi pengguna menyatakan masalah yang serupa, bukan sahaja di 99 Speedmart, malah turut membabitkan syarikat lain seperti 7-Eleven, MyNews, KFC, dan McDonald’s.

Ramai pekerja turut berkongsi pengalaman kerja mereka melebihi 12 jam sehari.

Mereka mendedahkan bahawa pekerja kedai runcit, termasuk di 99 Speedmart, terpaksa bekerja dari pukul 8 pagi hingga 10 malam tanpa diberi bayaran OT yang sewajarnya.

Seorang pengguna media sosial yang mengaku pernah bekerja sebagai Pembantu Pengurus Cawangan, turut tampil mendedahkan situasi pekerja di syarikat tersebut.

Menurutnya, tiada OT, tiada elaun petrol, malah mereka terpaksa membuat deposit duit jualan ke bank sehingga dua kali sehari.

“Everyday kena deposit duit sale either one to two times/day, bank 20 mins from outlet,” ujarnya sambil menekankan bahawa gaji mereka ‘mati’, tanpa sebarang tambahan walaupun tugasnya lebih berat.

Dalam ciapan lain, seorang pengguna menjelaskan bahawa 99 Speedmart mungkin tersenarai di Bursa Saham, namun kekayaan sebenar pemiliknya dibina atas penat jerih pekerjanya.

Gaji yang rendah, faedah yang tidak jelas, dan bekerja sepanjang masa termasuk hujung minggu menjadi sebab mengapa ramai pekerja memilih untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial.

“Bacalah replies daripada pekerja 99 Speedmart… Gaji rendah, kerja full hours, everyday including weekend, benefits entah ke mana etc,” katanya, sambil menambah bahawa keadaan ini yang membolehkan pemilik syarikat menjadi ‘billionaire.’

Diharapkan pihak pengurusan boleh mengambil komen bekas pekerja ini untuk menambah baik persekitaraan kerja yang lebih seimbang dengan manfaat dan gaji yang setimpal.

Untuk rekod, 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd menyaksikan kekayaan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Thiam Wah naik sebanyak RM2 bilion, lapor Berita Harian.

Beliau kini sebaris dengan bilionair seperti Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah yang berada di tangga kelapan dalam senarai 50 individu terkaya Malaysia Forbes (AS$2.4 bilion) dan tokoh korporat Genting Bhd, Tan Sri Lim Kok Thay (AS$2.2 bilion).