Penganut rayu hormat rumah ibadat

Penganut rayu hormat rumah ibadat

Di hadapan Batu Caves merupakan kuil Hindu yang paling popular di luar India dan menjadi lokasi utama untuk perayaan Thaipusam.

Kemeriahan Hari Thaipusam pada setiap awal tahun yang disambut di gua Batu Caves telah menaikkan status kawasan berkenaan sebagai lokasi upacara keagamaan Hindu terbesar di Asia Tenggara.

Selain itu, rumah ibadat ini turut terkenal dengan keunikan patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter yang dikatakan antara tertinggi di dunia dan keindahan pelbagai warna yang menghiasi 272 anak tangga.

Maka, tidak hairanlah kuil Batu Caves ini sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam mahupun luar negara asalkan mereka yang memasuki kawasan itu perlulah mengikuti kod pakaian yang disediakan pihak pengurusan atas dasar hormati tempat ibadat.

Meskipun begitu, seorang pengguna Facebook bernama Sam GV meluahkan perasaan kecewa apabila rumah ibadat itu terutama di kawasan tangga sering dijadikan tempat orang ramai melakukan aktiviti seperti berjoging dan mendaki.

Menerusi hantaran itu, dia yang sering ke kuil itu pada setiap Ahad pagi tidak dapat menahan diri lalu melakukan aduan ke pihak pengurusan di sana mengenai hal tersebut.

“Saya ke kaunter (pengurusan) dan bertanya mengapa ada yang melakukan aktiviti joging di sini dan tiada tindakan yang dikenakan oleh pihak kuil.

“(Penjaga kaunter) kata sudah memberitahu mereka (golongan yang datang berjoging) tetapi masih ada yang melakukannya,” katanya.

Joging Tangga Batu Caves

Dia juga bertanyakan hal papan tanda (etika di kuil) dan jawapan yang diterima ia masih tidak diletakkan kembali selepas pengubahsuaian.

Ujarnya, dia mengharapkan pihak pengurusan meletakkan kembali papan tanda itu dan segera menyelesaikan masalah itu kerana ia merupakan pusat keagamaan.

Hantaran tersebut tular dengan rata-ratanya bersetuju perlunya menunjukkan rasa hormat memandangkan kita adalah negara bermasyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai kaum, budaya dan agama.

“Dalam komuniti berbilang bangsa dan agama kita kena ada sifat tolenransi dan budi bicara hormat menghormati… So belajar hormat tempat agama lain beribadat”

“Pihak pengurusan kuil pun dah bagi tau itu bukan tempat excercise atau riadah…tapi ada yang masih degil untuk pergi konon melawat padahal exercise.”

“Itu rumah ibadat mereka, bukan tempat rekreasi. Kita patut hormat mereka. Banyak lagi tempat boleh bersenam.”

Jika mahu melakukan latihan menaiki tangga, anda boleh ke tarikan baharu di Putrajaya iaitu Tangga Putrajaya yang memiliki sebanyak 248 anak tangga, sesuai untuk orang ramai melakukan aktiviti gaya hidup sihat.