Penduduk Rantau Panjang mohon diselamatkan segera.

Penduduk Rantau Panjang mohon diselamatkan segera.

Kota Bharu: Situasi penduduk di Rantau Panjang yang merayu diselamatkan pasukan penyelamat selepas terperangkap dalam banjir, seperti suasana bah yang berlaku di Kuala Krai pada 2014.

Sejak pagi tadi, kebanyakan penduduk memohon diselamatkan selepas terperangkap dalam banjir susulan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

Masing-masing merayu berikutan terdapat bayi, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan pesakit terlantar yang terkepung apabila paras air di halaman rumah mereka mencecah lebih satu meter.

Malah, ada kawasan dilaporkan terputus bekalan elektrik dan bekalan makanan selain terpaksa menunggu lebih 10 jam sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Difahamkan, sehingga kini masih ramai yang belum diselamatkan memandangkan mangsa banjir semakin meningkat dan mereka juga gagal dihubungi oleh ahli keluarga.

Antara kampung yang terperangkap dan dikatakan banjir teruk kali ini ialah Kampung Serungga, Kampung Tasek Bakong, Kampung Bagus, Kampung Gual Arang, Kampung Banggol Merbol dan Kampung Kubang Rambutan.

Selain meminta diselamatkan, ada penduduk meminta bekalan makanan selain memohon petrol bot bagi membolehkan bot penduduk digunakan untuk tujuan menyelamat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, mengakui Rantau Panjang hampir lumpuh berikutan semua jalan dinaiki air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat terutama lori.

Katanya, paras air di semua jalan sekurang-kurangnya mencecah 0.5 meter dan pihaknya sudah menggerakkan semua jentera bagi operasi menyelamat.

“Kita terima banyak panggilan daripada penduduk yang terperangkap. Ada yang sudah kita selamatkan dan ada juga kita belum selamatkan.

“Keutamaan kita sekarang adalah bayi, warga emas dan pesakit terlantar. Pada masa sama, kita memohon bantuan daripada Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk sama-sama turun padang bagi membantu operasi menyelamat,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sehingga jam 6 petang hari ini, Pasir Mas mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai iaitu 3,433 orang yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS).