Pemuda Umno bidas Bersatu jangan sibuk campuri urusan Umno

Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang meminta Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak mencampuri urusan parti itu dalam isu menamakan calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Ketuanya, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sepatutnya mengadakan perbincangan dengan parti sendiri sekiranya mahu dicalonkan kembali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Pada hemat saya, Ahli Parlimen Bukit Gantang tidak perlu ikut campur urusan dalam UMNO.

“Jika beliau mahu bertanding, mungkin beliau harus berbincang bersama kepimpinan Bersatu Bahagian Bukit Gantang untuk menamakan beliau selaku calon. Itu pun jika akar umbi partinya bersetuju.

“Namun begitu, saya percaya seluruh akar umbi UMNO Bahagian Bukit Gantang akan bersolidariti mempertahankan kerusi tradisi UMNO di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak setuju UMNO hantar nama calon awal

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Syed Abu Hussin yang tidak bersetuju dengan tindakan UMNO Bahagian itu yang telah menamakan calon mereka bagi kerusi Parlimen dan tiga kawasan DUN.

Tindakan itu dilihat telah mendahului kepimpinan tertinggi dalam pembahagian kerusi parti Melayu bersama Pas dan Bersatu.

Mengulas lanjut, Mohammad Sollehin berkata, tindakan diambil UMNO Bahagian adalah bertepatan dengan saranan kepimpinan pusat untuk mempertahankan semua kerusi tradisi dimenangi sebelum ini.

Tambahan pula katanya, UMNO Pusat juga telah menggariskan bahawa pemilihan calon kali ini adalah berdasarkan kehendak dan suara akar umbi.

“Tidak timbul isu sama ada menghormati Perikatan Nasional (PN) atau tidak kerana kerjasama UMNO hanya terikat bersama Pas dalam Muafakat Nasional. Jika harus berlaku sebarang rundingan ia hanya melibatkan Pas semata-mata,” katanya.

Sumber : Sinar Harian