Pemuda Umno balun Pas kerana pertikai ucapan belanjawan Najib
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bahawa apa yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak di Dewan Rakyat semalam adalah satu hakikat dan bukannya hikayat.
Katanya, apa yang dibawa Najib pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 adalah hakikat suara rakyat yang ketika ini susah dan gelisah.
“Minta maaf ya sahabatku YB Pasir Mas. Ini bukan soal hikayat Puteri Gunung Ledang, ini soal hakikat rakyat yang cuba Ahli-Ahli Parlimen BN terutamanya Najib Razak perjuangkan dan suarakan.
“Hakikatnya…rakyat memang susah dan gelisah, rakyat memang ramai hilang pekerjaan, rakyat memang tak cukup wang untuk kehidupan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu di Dewan Rakyat Ahmad Fadhli menyifatkan ‘sokongan bersyarat’ BN terhadap Belanjawan 2021 yang dinyatakan oleh bekas perdana menteri itu semalam ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.
Dia juga berpendapat, amat janggal untuk ahli parlimen Pekan mengenakan sokongan bersyarat seperti itu.
“Sedikit berbeza dengan ahli parlimen lain, saya rasa meletakkan syarat sokongan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium agak janggal kerana ia tiada keperluan dalam Belanjawan 2021 ini.
“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan Melaka membuat jambatan (emas), hidangan (hati) nyamuk sekian, sekian, namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu,” katanya.
Dia berkata demikian semasa sesi perbahasannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Asyraf berkata “syarat” yang dikemukakan BN itu adalah bersandarkan kepada kemahuan rakyat.
“Yang diminta dan disyaratkan hanya apa yang rakyat mahukan. Bukan sesukar membina jambatan untuk Sultan mahupun hidangan nyamuk untuk dijadikan alasan menolak pinangan.
“Yang disyaratkan hanyalah untuk rakyat merasa wang mereka sendiri daripada caruman di akaun 1 KWSP dan juga lanjutan moratorium bagi meneruskan kelangsungan hidup di tengah-tengah hambatan dan kesempitan yang begitu mencemaskan,” tulisnya lagi.
Sumber: Malaysiakini