Pemuda Bersatu kesal tindakan Umno jatuhkan kerajaan Melayu-Islam di Perak

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak kesal dengan tindakan pihak yang menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam di negeri ini.

Ketuanya, Muhammad Faizul Mohamed Ismail berkata tindakan tersebut juga dilihat menggagalkan usaha bagi menyatupadukan pemimpin politik dalam kalangan Melayu-Islam.

“Sikap tamak kuasa akan hanya membenamkan dan terus melemahkan orang Melayu di tanah air sendiri.  Kita membawa jarum untuk mencantumkan perpaduan, mereka membawa gunting untuk terus memecahbelahkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Muhammad Faizul menyifatkan pihak yang bertindak sedemikian sebagai pemimpin yang tidak peka dengan keadaan rakyat masa kini yang sukar susulan pandemik COVID-19.

“Mereka ini disifatkan sebagai pemimpin yang tidak cakna keperitan rakyat tambahan pula dalam situasi getir rakyat mengalami kepayahan dan kegusaran akibat pandemik COVID-19.

“Yang mana sehingga mengakibatkan beberapa kawasan di  Perak telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Sudah pasti rakyat di kawasan terbabit mengalami pelbagai kesukaran yang memerlukan perhatian khusus daripada pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar kini.

“Semoga peristiwa sedih yang bersejarah ini akan terus disemat dalam hati semua rakyat agar pemimpin-pemimpin rakus ini tidak lagi diberi kepercayaan untuk memimpin kepentingan rakyat khususnya orang Melayu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa ARMADA BERSATU Perak tetap kekal bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya anak muda di negeri ini yakin di bawah kepimpinannya selain menegaskan bahawa Ahmad Faizal  telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang.

“Beliau telah merancang serta melaksanakan dasar-dasar yang sentiasa memberi manfaat kepada rakyat.

“Beliau juga sentiasa mengambil kira kepentingan serta kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira latar  belakang agama, bangsa mahupun ideologi politik,” tambah beliau.

Sumber: https://peraktoday.com.my/2020/12/kita-membawa-jarum-mencantumkan-perpaduan-mereka-membawa-gunting-armada-bersatu-perak/