Pemimpin Umno dakwa Anwar dah kalah

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Muhammad Rafii meminta pembangkang tidak membuang masa membuat lebih banyak undi belah bahagi dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Katanya, susulan kegagalan pembangkang menolak belanjawan di dua kementerian semalam, pembangkang sendiri pasti sudah jelas bahawa mereka tidak mempunyai sokongan daripada semua parti pembangkang untuk menjayakan undian berkenaan.

“Saya tengok pertelingkahan antara Warisan dan Anwar Ibrahim dah sampai ke puncak maksimum. Jadi, saya jangkakan mereka takkan dapat satu konsensus yang jitu.

“Susahlah (untuk) mereka nak memenangi apa-apa undian.

“Jangan buang masa sangatlah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razalan dipercayai merujuk ketidakhadiran ahli-ahli parlimen dari Warisan semalam, di kala pembangkang gagal menolak belanjawan untuk jabatan perdana menteri (105 menyokong, 95 menentang) dan kementerian kewangan (106 menyokong, 95 menentang) menerusi undian belah bahagi.

Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli berkata, wakil lain Warisan ada di Kuala Lumpur, tetapi bersepakat tidak hadir sesi undian sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian untuk “menghantar isyarat” berkenaan kekecewaan mereka terhadap PH.

Mengulas lanjut, Razlan, berkata undian belah bahagi bergantung pada nasib dan kehadiran ahli parlimen, namun ada kalanya, ada wakil yang tidak dapat menghadiri sidang dewan kerana ada urusan lain seperti mesyuarat dan sebagainya.

Justeru, katanya, pembangkang tidak harus merancang serangan hendap (ambush) semata-mata bagi menggagalkan belanjawan di sesuatu kementerian ketika kehadiran ahli parlimen menyebelahi mereka.

 

“Adakah perlu kita letakkan masa depan rakyat, masa depan belanjawan, masa depan pembangunan, masa depan negara kita terhadap nasib (by luck)?

“[…] Ambush ini adalah perkara yang hendak memuaskan hati kita, bukan nak memuaskan hati rakyat. Katalah dia (pembangkang) dah kalah dua kali, sepatutnya dia dah tak payah teruskan pun dah,” katanya.

Sebaliknya, menurutnya, pembangkang sepatutnya berbahas dengan niat agar kerajaan menerima dan memasukkan cadangan mereka ke dalam perubahan dasar, bukannya dengan niat menggagalkannya.

“Kita lihat nampak macam mereka nak menggagalkan undian itu lebih daripada nak berbahas (agar) input dimasukkan dalam dasar kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, spekulasi kuat bertiup bahawa Belanjawan 2021 akan ditolak oleh pembangkang dan akan disertai ahli parlimen kerajaan, bagi membuktikan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebenarnya tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

 

Ini selepas Anwar pada September lalu mengumumkan mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen yang “kukuh dan meyakinkan”, untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, tidak seperti jangkaan pelbagai pihak, Belanjawan 2021 diluluskan dengan mudah di peringkat dasar menerusi undian suara pada 26 November lalu, kerana arahan Anwar agar ahli-ahli parlimen pembangkang tidak melakukan undian belah bahagi.

Bermulanya perbahasan di peringkat jawatankuasa semalam, pembangkang dikatakan mahu membuat undian belah bahagi di semua kementerian.

Namun, setelah dua kekalahan undian belah bahagi semalam, sidang dewan hari ini menyaksikan belanjawan dua kementerian diluluskan hanya melalui undian suara, iaitu kementerian luar negeri dan kementerian perpaduan negara, tanpa melalui undian belah bahagi.

 

Menyentuh soal majoriti yang didakwa dimiliki Anwar, Razlan berkata, perkara itu sudah tidak lagi berbangkit sekarang.

“Kekukuhan (sokongan) Anwar dalam konsensus ahli-ahli parlimen, sudah tidak logik langsung dah. Ia hanyalah bersandarkan kata-kata tanpa melihatkan realiti sebenar.

“Realiti sebenar, dia dah kalah,” katanya lagi.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553306