Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi ‘dicekup’ dalam serbuan awal pagi ini
Pemimpin Aung San Suu Kyi dan tokoh kanan lain parti pemerintah Myanmar ditahan dalam sebuah serbuan awal pagi, kata jurucakap Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) hari ini.
Penahanan itu berlaku setelah beberapa hari meningkatnya ketegangan antara kerajaan sivil dengan tentera yang menimbulkan ketakutan berhubung kemungkinan berlakunya rampasan kuasa selepas pilihan raya yang didakwa dipenuhi penipuan.
Jurucakap Myo Nyunt berkata, Suu Kyi, Presiden Myanmar Win Myint dan pemimpin lain “dicekup” awal pagi ini.
“Saya ingin memberitahu rakyat agar tidak bertindak balas dengan tergesa-gesa dan saya mahu mereka bertindak mengikut undang-undang,” katanya, selain menambah bahawa beliau juga menjangka akan ditahan.
Talian telefon ke ibu kota, Naypyitaw, tidak dapat dihubungi awal pagi ini, manakala jurucakap tentera tidak menjawab panggilan untuk mendapatkan komen.
Seorang Ahli Parlimen NLD, yang meminta namanya tidak didedahkan, berkata, antara yang ditahan ialah Han Thar Myint, anggota jawatankuasa eksekutif pusat parti itu. – FMT