Pemimpin kerajaan PN diingatkan jangan aniaya rakyat

Bimbang dengan semakin ramai rakyat jelata yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat penularan wabak Covid-19, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini mengingatakan pemimpin kerajaan supaya tidak menganiayai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin .

“Rakyat ‘jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.’

“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titah baginda sempena istiadat pelantikan Adun Kota Tampan, Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang baru di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar, hari ini.

Pada 4 Disember lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tumban apabila dia gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. satu undi rosak atau berkecuali. Dengan itu Ahmad Faizal akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar.

Sebaliknya, selepas hampir seminggu berlalu, Umno, Bersatu dan PAS akhirnya bersetuju mencalonkan Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai calon menteri besar yang baru.

Pada titahnya, hari ini, Sultan Nazri turut menyebut bahawa apa yang berlaku sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

Sebelum pelantikan Saarani hari ini, Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Bersatu telah mengangkat sumpah jawatan menteri besar sebanyak dua kali, pertama pada tahun 2018 selepas PRU14 sebagai ketua kerajaan Pakatan Harapan. Dia sekali lagi pada Mac tahun ini mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua kerajaan Perikatan Nasional pula.

 

Titah baginda, sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta, sehingga lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.

“Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin.

“Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titahnya.

Sultan Nazrin bertitah, pelbagai pihak daripada kalangan pakar perundangan, pegawai kerajaan, orang perseorangan serta pemimpin PN dan PH mengadap baginda bagi menyampaikan cadangan, pendapat dan saranan masing-masing.

 

“Kesemua mereka mempunyai niat dan tujuan yang murni mahu membantu supaya kemelut yang berlaku dapat ditangani. Kepada kesemua mereka beta menzahirkan penghargaan tinggi,” titahnya.

Baginda juga menghargai peranan petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta, di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan, untuk melaksanakan tugas melaporkan dan menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat.

“Demikian juga kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal keadaan membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur,” titahnya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/554643