Pembangkang sedia memberikan kerjasama demi kebaikan rakyat

Kami bersedia untuk dipanggil dan berkhidmat untuk negara.
Itu kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Salahuddin Ayub yang menegaskan beliau dan blok pembangkang bersedia dipanggil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan kata sepakat dicapai demi kebaikan rakyat.
“Kami bersikap objektif, jika ia demi rakyat dan negara, kami akan sokong. Untuk Belanjawan 2021 yang akan datang, memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan ini berjalan dan belanjawan ini diluluskan, jadi panggil kami.
“Kami ada pasukan yang mampu menyalurkan buah fikiran dan idea terbaik. Kami bersedia pada bila-bila masa, panggil segera,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, hari ini.
Ahli Parlimen Pulai itu juga berkongsi inisiatif yang akan dicadangkan kepada perdana menteri, antaranya membabitkan moratorium untuk peniaga kecil dan sederhana, serta kesaksamaan kepada semua Parlimen.
“Semua ahli Parlimen bertugas untuk rakyat. Kalau peruntukan diberi hanya untuk ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, sedangkan belanjawan perlu dapat sokongan semua, seadilnya (peruntukan) diberi kepada semua ahli Parlimen,” ujarnya.
Tambah Salahuddin, situasi yang berlaku kini memerlukan ahli politik keluar dari lingkungan biasa dan melaksanakan titah baginda Tuanku untuk fokus kepada rakyat.
Sumber: Astro Awani