Pemandu SUV rentung, dua penumpang parah

Pemandu SUV rentung, dua penumpang parah

Seorang pemandu rentung, manakala dua penumpangnya parah selepas kereta mewah dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 10 Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam ketika lelaki berusia 43 tahun berkenaan dalam perjalanan dari arah bandar ini ke Yong Peng, memandu kenderaan Range Rover.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri dan melanggar titi batu.

“Akibat kemalangan berkenaan, Range Rover itu hangus terbakar. Pemandu lelaki berusia 43 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian, manakala dua penumpang kereta berkenaan, masing-masing berusia 27 dan 25 cedera parah.

“Dua yang cedera itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu rentung, dua penumpang parah Range Rover terbabas sebelum terbakar di Kilometer 10 Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, Batu Pahat, semalam. - Foto Ihsan Bomba

Pemandu rentung, dua penumpang parah Range Rover terbabas sebelum terbakar di Kilometer 10 Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, Batu Pahat, semalam. – Foto Ihsan Bomba

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II, Firdaus Ahmad, berkata sepasukan sembilan anggota bomba bersama dua jentera dari BBP Penggaram dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik pasukan berkenaan bersama satu unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) tiba di tempat kejadian, seorang mangsa didapati tersepit di bahagian pemandu dan terbakar.

“Dua mangsa yang lain cedera telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi. Kemalangan menyebabkan kereta terbabit hampir 90 peratus musnah,” katanya.