Pemandu Perodua Bezza lawan arus sudah ditahan polis

Pemandu Perodua Bezza lawan arus sudah ditahan polis

 

Pemandu kereta yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan dua penunggang motosikal di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) arah Telok Panglima Garang menghala ke arah Bandar Saujana Putra di sini, petang semalam, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, suspek yang cedera di kepala ditahan kira-kira 4 petang semalam, ketika menerima rawatan di Hospital Banting selepas melanggar penunggang motosikal kedua.

“Siasatan mendapati ketika kejadian 2.49 petang semalam, penunggang motosikal Honda Dash dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra tiba di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tanjung 12 Lebuhraya SKVE (arah Pulau Indah ke Bandar Saujana Putra).

“Ketika itu, penunggang Honda Dash sedang bergerak lurus, tiba-tiba terlihat sebuah Perodua Bezza berhenti di lorong kecemasan menyebabkan penunggang motosikal itu terus memberhentikan kenderaannya di hadapan Perodua Bezza.

“Secara tiba-tiba, Perodua Bezza bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian hadapan Honda Dash itu sehingga penunggang terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, selepas perlanggaran itu, pemandu Perodua Bezza itu terus bergerak melawan arus di lorong kecemasan berkenaan.

“Apabila tiba di KM 30.1 Lebuhraya SKVE, dia melanggar Yamaha LC 135 yang sedang bergerak terus (dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra) sehingga menyebabkan penunggang motosikal itu tercampak di jalan dan mengalami kecederaan di kedua-dua tangan dan kaki.

“Dalam kemalangan ini, kesemua mangsa terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki, 42 tahun yang juga pemandu Perodua Bezza ditangkap, malah sampel darah diambil untuk tujuan analisa alkohol dan dadah.

“Suspek ditangkap di hospital selepas dibawa dengan ambulans dari tempat kemalangan dan ditahan di wad kerana cedera di kepala.

“Suspek tidak akan direman kerana mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai Polis berhampiran.

“Boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mazrol Mohd Din (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 011-18539115 @ 03-31872222,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial, dua video berdurasi 29 saat memaparkan kejadian terbabit.