Pemandu MPV remaja lelaki 16 tahun langgar pemotong rumput tiada lesen memandu

Pemandu MPV remaja lelaki 16 tahun langgar pemotong rumput tiada lesen memandu

 

Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh dua pekerja memotong rumput hingga seorang daripadanya maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, hari ini didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati MPV berkenaan dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun.

“Setakat ini, remaja terbabit sudah ditahan dan kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Remaja terbabit yang memandu Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Difahamkan, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada remaja berkenaan memang diizinkan atau dia membawa MPV terbabit tanpa pengetahuan pemiliknya.