Pemandu lori nyaris maut, kotena jatuh 12 meter hempap lori

Pemandu lori nyaris maut, kotena jatuh 12 meter hempap lori

Seroang pemandu lori dilapor cedera dipercayai dihempap sebuah kontena yang jatuh pada ketinggian 12 meter di Jalan Pelabuhan Klang, hari ini.

Memetik dari laporan Kosmo, dalam kejadian kira-kira 1.15 tengah hari, mangsa berusia 49 tahun dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk mendapat rawatan lanjut.

Bomba yang menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.17 tengah hari telah menghantar enam anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian, kata Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis.

Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kontena yang jatuh merupakan sebuah kontena berisi kotak kitar semula dan dibawa sebuah lori dari atas jejambat. Kontena tersebut kemudian jatuh sehingga menghempap dua buah lori lain yang melalui di bawahnya.

“Salah satu daripada lori tersebut dihempap di bahagian hadapan dengan pemandunya tersepit,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, mangsa yang cedera berjaya dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, beberapa video yang dimuatnaik oleh orang awam yang memaparkan kejadian itu mula tular di media sosial dengan berlakunya kesesakan di lokasi berkenaan.