Pemandu kurier dipenjara, didapati bersalah curi lebih 100 “parcel” ditanda hilang

Pemandu kurier dipenjara, didapati bersalah curi lebih 100 “parcel” ditanda hilang

Seorang pemandu penghantaran di Singapura telah dijatuhi hukuman penjara selama 15 minggu pada Selasa kerana didapati bersalah menyalahgunakan berdozen-dozen bungkusan bernilai S$34,000 (RM105,825) yang telah ditandakan hilang olehnya tetapi sebenarnya telah disimpan di rumah ibu mertuanya.

Menurut Channel News Asia, setelah syarikat kurier tempatnya bekerja mengetahui mengenai jenayah tersebut, mereka melaporkannya pada pihak polis.

Hasil siasatan yang dijalankan di rumah pemandu itu, polis telah menemui lebih dari 100 barang yang dicuri olehnya selama lebih kurang lima bulan.

Setelah ditangkap, lelaki yang berusia 31 tahun itu telah mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah kerana mencuri.

Difahamkan, lelaki itu telah bertugas sebagai pemandu penghantaran selama sekitar satu setengah tahun ketika dia mula mencuri barang dari syarikat itu.

 

Dia dikatakan akan mengambil bungkusan untuk penghantaran dari kakitangan di gudang. Tetapi, dia tidak mengimbas setiap barang secara berasingan dengan telefonnya sebelum dihantar.

Syarikatnya mempercayai bahawa dia mengimbas semua barang kerana dia telah bekerja di sana sekian lama dan tidak ada seorang pun yang meragui tindakannya.

Lelaki itu juga akan melaporkan bahawa kesemua barang yang dicurinya hilang kepada penyelia sebelum memasukkan barang-barang itu ke dalam van dan memandu ke rumah ibu mertuanya.

 

Dia kemudian akan memindahkan barang-barang yang dicuri dari rumah ibu mertuanya ke rumahnya sendiri untuk disimpan.

Dalam perbicaraan mahkamah yang berlangsung minggu ini, Timbalan Pendakwa Raya, Phoebe Tan, juga mengatakan bahawa lelaki itu melakukan jenayah tersebut sekitar Jun 2019 hingga 13 November 2019.

Jelas Phoebe lagi, tindakannya itu tidak dapat dikesan pada awalnya kerana terlalu banyak pergerakan di gudang yang menyukarkan syarikatnya untuk memeriksa CCTV.

Tambahan pula, barang-barang yang dicuri agak kecil, menjadikannya lebih sukar untuk dikesan.

Barang yang paling mahal yang dicuri olehnya adalah telefon Samsung Galaxy Note 10+ yang berharga S$1,598 (RM4,975) setiap satu.

Pendakwa raya telah memohon agar lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara antara empat hingga enam bulan. Hakim dikatakan telah membenarkan lelaki itu untuk mula menjalani hukuman penjara pada akhir bulan ini.

Sumber: Channel News Asia