Pemandu ditahan, Honda civic masuk laluan motosikal

Pemandu ditahan, Honda civic masuk laluan motosikal

Kuala Lumpur: Pemandu sebuah Honda Civic yang dikesan menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu di sini, ditahan polis, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebelum itu pihaknya mengesan satu video berdurasi 30 saat mengenai kejadian berkenaan yang dimuat naik pemilik akaun Facebook, Mazli Alias dalam halaman Facebook DashCam Owners Malaysia pada 2.41 petang semalam.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu.

“Bertindak atas aduan itu, kami mengesan pemandu kereta berkenaan dan membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 30 tahun terbabit ketika dia hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 6.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT) Jalan Tun H S Lee di talian 03- 20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.