Pemakaian pelitup muka di sekolah tidak lagi diwajibkan

Pemakaian pelitup muka di sekolah tidak lagi diwajibkan
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka sama ada di dalam atau luar bangunan kawasan sekolah.Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah pada ketika ini adalah mengikut pilihan masing-masing susulan pengumuman ketetapan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu.“Ingin saya jelaskan bahawa pemakaian penutup muka dalam atau luar bangunan di kawasan sekolah adalah mengikut pilihan masing-masing. Tidak diwajibkan.

“Namun begitu, kita amat galakkan pemakaian penutup muka dalam kawasan sekolah khususnya di tempat-tempat yang ramai orang,” katanya dalam video perkongisan melalui Facebook rasminya pada Ahad.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kini atas pilihan berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 dalam negara serta penilaian semasa yang dilakukan kementeriannya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, bagi kanak-kanak yang menaiki pengangkutan awam ke sekolah seperti bas dan van diingatkan supaya memakai pelitup muka.

“Apa yang paling penting kita memastikan keadaan di sekolah ini selamat.

“Maklumat lanjut berkaitan dengan pemakaian penutup muka di sekolah ini akan dimaklumkan kemudian,” ujarnya.